Pelbagai pihak di Baling hari ini mengadakan demonstrasi aman meminta kerajaan mewartakan penyalahgunaan daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Ia disertai Pergerakan Pemuda Umno bahagian Baling, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Malaysia (Pekida) Baling dan Majlis Ulama Muda Daerah Baling (Maulana).

Mereka turut membakar dan memijak daun ketum yang menjadi punca gejala sosial terutama dalam kalangan remaja dan pelajar.

Ketua Pemuda Umno bahagian Baling, Mohd Noor Mohd Amin berkata penyalahgunaan daun ketum sememangnya memudaratkan kesihatan orang ramai.

"Oleh itu saya bagi pihak Pergerakan Pemuda Umno bahagian Baling dengan sokongan Pekida dan Maulana mendesak kerajaan dan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) mewartakan daun ketum sebagai dadah berbahaya," katanya.

Pengerusi Pekida Baling, Alias Abd Rahman berharap KDN dapat melakukan sesuatu dengan mewartakan daun ketum sebagai dadah berbahaya kerana banyak dalam kalangan pelajar dikesan menjadi penagih air daun ketum.

Wakil Maulana, Mohd Khairi Mat Isa berkata ibu bapa dan masyarakat perlu bekerjasama dalam memerangi isu penyalahgunaan daun ketum.

Bernama dimaklumkan terdapat penduduk Baling yang menanam pokok ketum, memasak daunnya untuk dijadikan minuman dan menjualnya.

- Bernama