Rosmah jumpa keluarga penumpang
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meluangkan masa hampir dua jam berjumpa bagi memberikan sokongan moral kepada anggota keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370, yang ditempatkan di The Hotel Everly Hotel di Putrajaya.
Beliau tiba di situ kira-kira pukul 12.45 tengah hari. Turut hadir mengiringi beliau Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga naib Ketua Wanita Umno dan Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari.
Rosmah dilihat beberapa kali mengalirkan air mata semasa menemui anggota keluarga yang berkumpul di hotel itu.
Ketika ditanya Bernama tentang pertemuan isteri perdana menteri bersama lebih 100 anggota keluarga tersebut, Rosni berkata kebanyakan mereka melahirkan rasa sedih kerana belum ada perkembangan berhubung kedudukan pesawat itu, walaupun pelbagai usaha telah dan sedang digerakkan bagi mencari dan menyelamat.
Rosni berkata bagaimanapun Rosmah memberi jaminan bahawa pihak berkuasa negara ini menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya bagi mendapatkan maklumat dengan secepat mungkin.
Di samping itu, kata Rosni lagi, Rosmah juga berkata negara jiran juga memberi bantuan dalam pelbagai aspek berhubung perkara itu.
Shahrizat arah Wanita solat hajat
Selain itu Rosni berkata Wanita Umno juga mendapat arahan daripada ketua mereka, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya 191 bahagian sayap parti itu mengadakan solat hajat bagi mendoakan proses penemuan pesawat itu berjalan lancar.
Katanya solat hajat itu akan bermula malam ini di semua sayap bahagian Wanita Umno.
Pesawat MAS MH370 membawa 239 penumpang, termasuk dua kanak-kanak dan 12 kru, hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.
- Bernama

