Mungkinkah kenaikan tarif air berlaku?
BAHAGIAN AKHIR
3. Kemungkinan kenaikan tarif air naik akibat MoU
Selaras dengan semangat dan hasrat WSIA 2006, penstrukturan semula industri air di mana-mana negeri di Malaysia sepatutnya menyaksikan:
- Pemindahan semua aset berkaitan kepada PAAB kerana PAAB akan “membiayai kos modal pembiayaan membina aset air yang baharu, membaikpulih dan menaiktaraf aset air sedia ada”
- Pajakan semula semua aset air kepada pengendali perkhidmatan air negeri (selalunya anak syarikat Kerajaan Negeri) dengan sewa pajakan akan ditentukan secara sepakat antara Kerajaan Negeri dan PAAB
Jelas bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar sewa pajakan yang perlu dibayar kepada PAAB kerana kata kuncinya adalah kesepakatan bersama.
Desakan memperbetulkan keadaan akibat perjanjian konsesi bagi penswastaan industri air yang berat sebelah dan tidak adil selama ini bawah Mahathirisme pada 1990-an dan awal 2000 dijangka akan menjadi pendorong utama bagi PAAB untuk tidak mengenakan sewa pajakan yang tinggi ke atas kerajaan negeri sebagaimana yang kita lihat di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka.
Saya juga yakin kerajaan negeri tidak akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebahagian daripada kos keseluruhan pembangunan LRAL2.
Memandangkan penetapan tarif air kekal di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, saya tidak nampak ruang di mana “pass-through effect” boleh berlaku selagi mana Pakatan Rakyat menguasai pentadbiran Selangor walaupun ada kemungkinan kadar sewa pajakan dinaikkan.
Saya juga yakin tarif air tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya memandangkan rakyat negeri Selangor sendiri melalui hak bersuara mereka sebagai pemegang saham dalam Water SPV akan menghalang sebarang tindakan yang dianggap merugikan.
Pada hemat saya, inilah dua “benteng” utama yang akan mampu melindungi hak dan kepentingan rakyat Selangor dengan berkesan.
Secara jujur, saya tidak menolak kemungkinan akan ada kenaikan tarif air di suatu ketika nanti pada masa hadapan tetapi saya harap ianya pada kadar yang sangat munasabah, tidak membebankan dan tempoh senggang yang panjang demi memastikan perkhidmatan rawatan dan bekalan air bertaraf dunia tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.
4. Tiga tugas utama Kerajaan Negeri dalam kadar segera sementara menanti siapnya LRAL2
- Melaksanakan program mitigasi bernilai RM909 juta dengan suntikan dana penuh oleh Kerajaan Persekutuan
- Memulakan projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Sungai Selangor yang dijangka mempunyai kapasiti membekalkan air bersih 600-700 juta liter sehari (MLD) atau 3 billion liter menjelang 2020
- Menurunkan peratusan air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) kepada tahap yang memuaskan daripada lebih 33% sekarang dalam masa enam bulan, punca utama kegagalan SYABAS memastikan bekalan air terawat yang cukup
Meskipun kita masih samar-samar mengenai impak Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara kerajaan negeri Pahang dan kerajaan negeri Selangor bertarikh 22 November 2007 terhadap tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila LRAL2 mula beroperasi, saya merasakan jika kerajaan negeri dapat membuktikan bahawa penyempurnaan tiga langkah di atas mampu menampung keperluan dan memberi perkhidmatan air bertaraf antarabangsa, tiada sebab mengapa air mentah perlu disalurkan dari Pahang ke Selangor.
Kesimpulannya, dengan mengambilkira kesemua kekangan sedia ada, saya berpendapat MoU ini akan memberi manfaat kepada warga Selangor untuk jangka masa sederhana dan panjang.
Seperti yang telah dihuraikan, MoU ini tidak sekali-kali akan mengakibatkan penambahan langsung hutang atau implikasi kos terhadap Kerajaan Negeri kerana sememangnya transaksi pengambilalihan ini direkayasa secara spesifik untuk mengelakkan sebarang tekanan ke atas kedudukan kewangan negeri.
Yang paling penting, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemudahan air berkualiti secara mampan pada harga yang berpatutan di samping kesinambungan polisi air percuma serta peluang menikmati pulangan daripada pelaburan di pasaran saham dan hak menentukan hala tuju industri perkhidmatan air di Selangor sebagai pemegang saham dan pemilik bersama aset air dalam Water SPV.
Justeru, sekalung tahniah wajar diberi kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Syabas!
Bahagian I: MOU air Selangor: Untung atau rugi?
AZRUL AZWAR AHMAD TAJUDIN adalah bekas ketua ekonomis Bank Islam. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat mana-mana pihak.

