Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MH370) yang hilang pada Sabtu.

"Di kesempatan ini, Beta dan Raja Permaisuri Agong bersama rakyat Malaysia amat prihatin terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 Penerbangan Malaysia ke Beijing pada Sabtu, 8 Mac," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Ke-13.

Seri Paduka juga berharap agar anggota keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat dapat bertenang dan tabah menerima ketentuan tersebut, lapor Bernama.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seri Paduka sebelum itu merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Majlis Parlimen ke-13 di Kuala Lumpur hari ini.

Pembukaan penggal kedua Parlimen ke-13 kali ini menyaksikan perubahan atur cara sambutan majlis perbarisan kawalan kehormat yang sepatutnya berlangsung di Dataran Parlimen, diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen berikutan cuaca berjerebu.

Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan sebagai melahirkan rasa sedih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Presiden China atas kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut agensi berita Emirates (WAM), Sheikh Khalifa menyampaikan kesedihan yang mendalam kepada Seri Paduka dan Presiden Xi Jinping serta keluarga penumpang pesawat.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang, lebih separuh daripadanya merupakan warga China hilang dalam penerbangan ke Beijing, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 pagi Sabtu.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.