Tapak pelupusan sampah di Kampung Wong Seng Chow, Sikamat dekat Seremban seluas kira-kira 4.05 hektar terbakar sejak semalam, mengakibatkan asap tebal dapat dilihat dari jarak kira-kira dua kilometer.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata kebakaran dikesan lewat petang semalam dan mula merebak tengah malam tadi ekoran cuaca kering dan berangin.

"Api masih belum padam namun keadaan ketika ini terkawal dan pemantauan dilakukan secara berterusan. Seramai 67 anggota dari enam balai bomba berhampiran bersama pasukan bomba sukarela Taman College Height serta kakitangan Majlis Perbandaran Seremban turut serta memadam kebakaran," katanya.

Beliau berkata operasi memadam dijangka memakan masa kira-kira lima atau enam hari, berdasarkan keluasan dan ketebalan tapak pelupusan sampah berkenaan, juga bergantung kepada keadaan cuaca.

"Segala usaha pemadaman masih lagi dijalankan termasuk penyiraman air selama 24 jam. Kebakaran mengakibatkan kualiti udara di sekitar bandar Seremban agak terjejas," katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

- Bernama