'Tak boleh beritahu terperinci ikut undang-undang'
Bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menjelaskan bahawa sebarang operasi mencari dan menyelamat sesebuah pesawat, akan mengikut prosedur dan
undang-undang sedia ada, dan dalam hal berkaitan pesawat MH370, ia tidak terkecuali.
Operasi SAR yang mengikut prosedur adalah bagi mengelak daripada berlaku sebarang percanggahan atau kesilapan maklumat, katanya.
Penyampaian maklumat juga, oleh pegawai bertauliah yang dilantik, harus berdasarkan peruntukan itu, kata Abdul Aziz ketika mengulas operasi SAR yang dilakukan kini terhadap pesawat MH370 yang hilang awal pagi Sabtu lepas dalam perjalanan menuju ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Beliau berkata prosedur dan undang-undang itu termaktub dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996 - Bahagian 12 – Penyiasatan Kemalangan.
"Penyiasatannya ada kaitan undang-undang yang dikawal oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA), ada aturan-aturan khas...oleh itu orang lain, selain daripada mereka, tidak boleh memberitahu (maklumat) kejadian secara terperinci berdasarkan undang-undang," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal yang berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam Jumaat, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.
Sejak insiden mengejutkan itu, seluruh masyarakat dunia menunjukkan keprihatinan dan pelbagai pendapat, teori serta maklumat disampaikan untuk dikongsi oleh pelbagai pihak melalui media dan laman sosial.
Dari situ, banyak juga yang cuba membuat penilaian, spekulasi dan teori sendiri berhubung insiden berkenaan, tanpa memikirkan sensitiviti terhadap keluarga penumpang, syarikat penerbangan negara dan integriti pasukan SAR negara.
Abdul Aziz mengingatkan bahawa pihak terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat tidak boleh bercakap atau memberi maklumat sesuka hati, sebaliknya perlu menilai dahulu kesahihannya, dan sama ada boleh atau tidak disebarkan kepada umum.
Atas sebab itu, kalau ditanya MAS apakah sebab sesebuah kapal terbang itu terhempas sekiranya terhempas, mereka tidak boleh memberi jawapan spontan begitu sahaja tanpa berpandukan peraturan dan undang-undang yang ada, jelas beliau.
"Ini kerana, jika mereka memberi jawapan (tanpa penyiasatan terperinci), akan jadi perkara lain (yang tidak diingini)," kata Abdul Aziz, yang menjadi antara individu bertanggungjawab mewujudkan Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 1996 di negara ini.
Justeru, Abdul Aziz menasihatkan masyarakat supaya lebih bersabar dan tidak mengeluarkan sebarang spekulasi tidak berasas, sebaliknya berdoa agar pelbagai tanda tanya mengenai kehilangan pesawat MH370 ini akan terjawab segera.
"Kita tidak bolehlah nak kata pihak pengurusan cuai dan sebagainya kerana saya percaya mereka berusaha tekun memberi maklumat dengan pantas, sekaligus melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat itu," katanya.
Menyingkap semula tragedi terakhir kapal terbang MAS terhempas di Johor Baharu pada 1977, Abdul Aziz berkata ia amat berbeza dengan kejadian sekarang kerana pesawat MH370 ini hilang dan masih tidak diketahui kedudukannya.
"Ini berbeza dengan kapal terbang terhempas pada tahun 1977 kerana ia ternyata terhempas di atas darat...kita nampak. Sekarang ini kita tidak tahu di mana pesawat MH370 itu lagi... Maka masih dalam harapan kita semoga pesawat tersebut selamat," katanya.
Abdul Aziz berkata perkara paling penting dalam penyiasatan sesuatu punca kemalangan kapal terbang pula ialah 'kotak hitam' dan 'perakam penerbangan' kerana kedua-duanya akan dapat membantu memberi jawapan di sebalik sesuatu insiden itu berlaku.
"Cabaran yang dihadapi sekarang ini ialah kapal terbang itu masih belum dijumpai...bagaimana pula kita kini hendak bercakap untuk dapatkan 'black box' dan 'flight recorder'... Setelah ada kemudian baru boleh ia membantu pihak penyiasat membuat siasatan (punca)," jelas beliau.
Bagaimanapun, Abdul Aziz yang memegang jawatan Pengarah Urusan MAS dari tahun 1982 hingga 1992 itu menasihatkan semua kakitangan MAS supaya optimis berhadapan dengan tragedi ini, sekali gus memberi sokongan penuh kepada pihak pengurusan.
Katanya kakitangan MAS tidak boleh menjadikan insiden ini untuk berputus asa, sebaliknya mereka perlu melipat-gandakan usaha mereka, bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
"Jangan berputus asa, kejadian seumpama ini jadikan sebagai cubaan... Bukan syarikat MAS sahaja, syarikat penerbangan lain pun adakalanya menghadapi insiden berkaitan seperti ini.
"Apa yang penting ketika ini, jalankan tugas dengan jujur dan betul mengikut aturan dan undang-undang supaya di masa hadapan kita boleh mengendalikan pelbagai cabaran lain dan syarikat penerbangan negara ini akan terus mara sebagai sebuah syarikat penerbangan terkemuka dunia," katanya.
Abdul Aziz mula berkhidmat dengan MAS pada tahun 1971 sebagai Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Setiausaha.
- Bernama

