Wan Azizah berteka-teki isu calon MB
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berteka teki berhubung isu calon jawatan menteri besar Selangor sebagaimana didakwa menjadi agenda Ketua Umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika memenangi pilihan Raya DUN Kajang.
Sebaliknya, Azizah yang juga calon PKR menjelaskan, fokusnya buat masa ini hanya untuk mencapai kemenangan dalam pilihan kecil DUN itu pada 23 Mac depan.
"Setakat ini saya hendak menang dululah. Lagipun Tan Sri Khalid (Ibrahim) dengan saya, satu pasukan jadi saya ingat hendak memperkukuhkan pasukan," katanya dalam satu majlis di Taman Kantan Permai, Kajang petang ini.
Beliau menjawab persoalan sama ada beliau akan meneruskan agenda Anwar sekiranya memenangi kerusi DUN Kajang itu.
Diasak lagi dengan soalan berhubung jawatan menteri besar itu, Wan Azizah menegaskan bahawa perkara itu akan dilihat kemudian sekarang sasarannya hanya kerusi ADUN Kajang.
"Saya nak menang dulu, Tan Sri Khalid memang MB Selangor, kita tengoklah macam mana nanti.
"Sekarang ini fokus saya (pilihan raya kecil) Kajang. Dua, tiga hari ni saya tengok Kajang banyak masalah, saya nak selesaikan masalah Kajang dahulu," katanya.
Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau menyeru kepada wanita di Taman Kantan Permai, Kajang supaya bersama-sama dengannya untuk mengemudi kerajaan.
"Saya mohon semua wanita tolonglah saya. Puan-puan tahu rasanya pegang bayi sendiri, macam mana nak tengok nak jaga, macam itu lah kita nak tengok negara kita.
"Marilah kita bersama-sama mengemudi kerajaan keluar dari penindasan. Saya tidak boleh keseorangan (tanpa pengundi)," katanya.

