Jabatan Penerangan Negeri Kelantan telah bersedia dengan semua peralatan yang perlu untuk membuka pusat media bagi mengumpulkan maklumat dan kemudahan membantu keluarga penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.

Pengarahnya Ramly Yusof berkata pusat itu akan dibuka di sebuah hotel di Kota Bharu dan jabatan berkenaan hanya menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memulakan operasi.

"Pusat itu akan digunakan untuk kemudahan keluarga penumpang pesawat itu  dan media," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pertandingan Kuiz Asean 2014 di Sekolah Kebangsaan Datuk Ahmad Maher di Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 106 pelajar dari SMK Ahmad Maher menyertai kuiz yang dijalankan serentak kira-kira jam 10 pagi semalam di negara ini dan beberapa negara Asean lain.

Sementara itu, Ramly menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehilangan pesawat itu.

"Jangan jadikan isu kehilangan pesawat MH370 ini sebagai bahan untuk berseronok. Jika kita benar-benar simpati, elak daripada menyebarkan maklumat tidak betul yang boleh menghina dan menganiaya keluarga mangsa,” katanya.

Pesawat MH370 itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam Jumaat.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi Sabtu.      

- Bernama