'Mesej digodam boleh perangkap kami'
PKR menuntut kawalan keselamatan lebih ketat dari pihak berwajib setelah mendakwa telefon bimbit 11 pemimpin dan penggiat parti itu digodam minggu lalu.
Bagaimanapun, Naib Presiden PKR Fuziah Salleh ( kanan ) berkata, syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) seolah-olah tiada sebarang isu dengan masalah itu.
"Isu yang rasa lebih penting ialah isu keselamatan. Bagaimana senangnya nombor telefon kita digunakan oleh sesiapa untuk hantar mesej bukan dari kita. Hal ini harus dilihat serius oleh syarikat telekomunikasi.
"Hal ini amat serius dan lebih besar dari kandungan SMS itu sendiri. Siapa tahu mesej yang dihantar itu boleh digunakan untuk memerangkap kami pada masa depan," kata beliau dalam sidang media di Kajang hari ini.
Menurut maklumat daripada Bilik Gerakan Utama PKR untuk pilihan raya kecil Kajang, setakat ini telefon bimbit 11 pemimpin dan ahli parti itu digodam.
Selain Fuziah sendiri, turut dikatakan menjadi mangsa Timbalan Presiden Azmin Ali, naib presiden Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Md Akin, beberapa wakil rakyat serta pemimpin akar umbi di Kajang.
Azmin, Tian Chua dan Izzah pada 14 Mac lalu mendakwa, penggodam menggunakan telefon mereka untuk menyampaikan SMS memecahbelahkan parti.
Syaki motif politik
Semua pemimpin terbabit mendakwa mesej yang dihantar spesifik sama ada kepada jentera Pakatan atau pengundi di Kajang, menyebabkan mereka mengesyaki ia bermotifkan politik.
Fuziah mendedahkan antara kandungan SMS yang dihantar berbunyi: "Mana pergi Muslimat PAS Selangor? Takkan Muslimat PAS Perak dan Johor sahaja yang turun (Kajang) ?
Sementara itu ADUN Simpang Pulai Tan Kar Heng, antara 11 yang mendakwa telefonnya digodam, dihujani ratusan panggilan dan SMS daripada pengundi Kajang yang menerima SMS palsu daripadanya.
Tan membaca SMS dalam bahasa Mandarin itu kepada media hari ini yang berbunyi:
"Sila maklumkan kepada penduduk Kajang, muncul ribuan orang Melayu dari luar kawasan. Jangan keluar pada hari mengundi."
Menurut timbalan setiausaha PKR Perak lagi, sebuah lagi pesanan berbunyi:
"Jangan biar PAS masuk kawasan Cina. Cina tak suka PAS. Sila sebarkan."

