Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK tolak kenyataan Chew isu kematian 6 remaja

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Shamsul Iskandar Md Akin menolak kenyataan Datin Paduka Chew Mei Fun semalam yang mendakwa kematian enam remaja dalam sebuah konsert di Bukit Jalil minggu lalu kerana polisi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Shamsul berkata konsert Future Music Festival Asia (FMFA) dianjurkan dengan permit dan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia malah kerajaan negeri hanya menyediakan tapak kerana ia sebahagian program Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Siapa yang anjur (konsert) itu? Ini persoalannya dan apa keperluan konsert sedemikian dalam usaha promosi Tahun Melawat Malaysia?" kata Shamsul dalam sidang media hari ini.

Dalam kenyataan semalam, Chew berkata kematian tersebut dapat dielak sekiranya Selangor mengawal pertumbuhan rumah urut dan kafe siber haram yang berleluasa di negeri itu.

Pada Jumaat lalu, enam remaja meninggal dunia manakala 14 lain dirawat di hospital akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert FMFA 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat dan Sabtu lalu.

Shamsul yang juga ahli parlimen Bukit Katil turut mencadangkan satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu dan mengkaji semula kelulusan acara sebegini di masa depan.

Beliau juga bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin semalam yang mahu mengkaji semula bersama rakan kabinet mengenai pemberian permit konsert Live in Color yang dijadualkan 19 April depan.

"Ketika perbahasan belanjawan lalu, saya beri penegasan (kepada) menteri belia (dan sukan) agar program hiburan ini bukan hanya mengikut selera orang muda, tetapi menggambarkan citra dan pendidikan orang muda.

"Hiburan perlu masukkan kaedah mendidik bukan hanya pesta liar sehingga perkara ini berlaku. Akhirnya negara tanggung malu dan ini serius," kata Shamsul.

Pemuda DAP tuntut siasatan khas

Sementara itu, Penolong setiausaha DAPSY Selangor Mohammad Firdaus Babh mendesak kerajaan melakukan siasatan khas berhubung konsert itu sekaligus mengetatkan syarat permohonan untuk mengadakannya supaya insiden itu tidak berulang lagi.

Beliau turut mendakwa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga Kementerian Belia dan Sukan bersikap sambil lewa memberi kelulusan dan tanpa mengambil kira aspek keselamatan penonton konsert.

"Seharusnya dengan dugaan yang sedang menimpa negara sekarang, menangguhkan penganjuran program-program seperti ini apatah lagi dalam keadaan Dunia sedang memerhati Malaysia dalam pencarian MH 370," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Mohammad Firdaus juga menggesa polis menyiasat bagaimana bekalan dadah mudah didapati di kalangan remaja pada konsert itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS