Ops Cantas Khas Wanita di Kelantan
Polis Kelantan kini lebih mantap menghadapi penjenayah apabila dibantu pasukan Ops Cantas Khas Wanita yang terlatih.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pasukan itu yang dianggotai 15 polis wanita termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor, akan diberi tugas mengendali kes jenayah membabitkan golongan hawa.
"Anggota yang terpilih telah menjalani latihan sejak 9 Mac lalu dengan menumpukan latihan seperti persiapan mental, kepakaran menembak dan kemahiran menangkap penjenayah," katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Tempur Jarak Dekat dan Ops Cantas Khas Wanita di Lapang Sasar Gunung, Bachock, semalam.
Beliau berkata penubuhan pasukan itu juga dilihat perlu bagi mempersiapkan polis Kelantan dalam berdepan cabaran menangani jenayah membabitkan wanita.
Katanya, peranan anggota polis wanita akan diperluas dan tidak hanya terhad kepada urusan pentadbiran dan kerja biasa.
"Kita juga akan menambah bilangan mereka dari semasa ke semasa bagi melengkapkan lagi pasukan malah bercadang untuk menubuhkan pasukan wanita bagi kes dadah," katanya.
- Bernama

