NS kenakan bayaran air laut untuk loji Jimah
Kerajaan Negeri Sembilan akan mengenakan bayaran air laut yang digunakan untuk menyejukkan janakuasa Jimah Power Plant, Port Dickson, mulai Mei ini.
Jimah Power Plant adalah milik syarikat Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (JEV).
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu telah diluluskan dalam mesyuarat exco semalam.
"Kita kenakan bayaran 1 sen untuk setiap liter bermakna kita akan memperolehi (pendapatan) RM7.5 juta setahun. Bayaran yang dikenakan berdasarkan perkiraan yang telah dibuat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Seremban.
Katanya langkah mengenakan caj tersebut adalah pertama kali diperkenalkan bagi menambah hasil dalam negeri tanpa membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai tanah dan tarif lain.
"Kerajaan negeri memerlukan pendapatan untuk membantu orang susah dan sebagainya menerusi dasar jaringan keselamatan sosial. Kita perlu pendapatan, tapi pendapatan yang tidak akan membebankan rakyat," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengenakan bayaran ini kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) lain di negeri ini secara berperingkat.
Katanya kadar yang dikenakan itu akan disemak semula setiap lima tahun sekali.
- Bernama

