Pencarian ditangguh kerana cuaca buruk
Menteri Pertahanan Australia Mark Binskin berkata operasi pencarian untuk mengesan pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.
Binskin berkata, keadaan laut dengan ombak setinggi 20 hingga 30 meter membahayakan pasukan penyelamat.
Keadaan itu dijangka berterusan selama 24 jam, katanya yang menambah, pasukan penyelamat masih belum berjaya mendaratkan apa-apa serpihan pesawat.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia menyebut kawawan berkenaan diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam, beserta hujan lebat dan awan yang rendah dengan ketinggian antara 200 dan 500 kaki dari paras laut.
"AMSA telah membuat penilaian dan mengambil keputusan keadaan cuaca sekarang akan menyebabkan sebarang aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan mendatangkan risiko kepada kru.
"Oleh yang demikian, AMSA menangguh semua operasi mencari di laut dan udara hari ini ekoran keadaan cuaca sebegini," katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama .
Pihak AMSA turut mendapatkan pandangan Biro Meteorologi dan cuaca dijangka bertambah baik di lokasi pencarian pada sebelah petang dan dalam beberapa hari lagi.
Operasi mencari dijangka disambung semula esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
HMAS Success akan kembali ke kawasan pencarian apabila cuaca bertambah baik.
Malam tadi kapal tersebut cuba mencari objek-objek yang dilihat oleh pesawat RAAF P3 Orion, tetapi tidak menemuinya.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa berdasarkan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) dan satelit syarikat Inmarsat, penerbangan pesawat Malaysia Airlines itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pesawat yang menuju Beijing hilang dari skrin radar pada 8 Mac.

