MB: Isu jawatan Azmin belum putus
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata penamatan jawatan timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sehingga kini masih belum diputuskan.
Khalid yang memberi keterangan dalam siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkata, keputusan berkenaan kekal tergantung kerana masih dalam siasatan.
Khalid Ibrahim berkata demikian menjawab pertanyaan Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad berkenaan nama Azmin terkandung dalam minit mesyuarat disamping nama dua lagi ahli lembaga pengarah yang ditamatkan perkhidmatan, Teresa Kok dan Iskandar.
"Sekarang perkara itu digantung, siasatan masih dijalankan. Apa pun siasatan tidak boleh lebih dua bulan," katanya
Katanya, siasatan berkenaan masih dijalan oleh setiausaha kerajaan negeri.
Bagaimanapun, apabila ditanya berhubung jangka masa siasatan itu, beliau tidak dapat memberikan kepastian.
"Saya pun tidak tahu kerana dalam siasatan saya tidak boleh terlibat," katanya.
Persidangan berkenaan diadakan ekoran pertikaian yang timbul berhubung penyingkiran Azmin dari jawatan tersebut, dan juga 22 orang kakitangan profesional lain secara mendadak dari syarikat berkaitan kerajaan negeri itu, awal Februari lalu.
Kontroversi pemecatan itu, yang berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Azmin, bermula dengan pemecatan MP Gombak itu dari jawatan PKNS.
Ia semakin meruncing apabila PKNS turut memecat serta merta 19 orang kakitangan PKNS pada 4 Februari.
Hinggakan, Azmin memberi amaran terbuka kepada Khalid supaya tidak lagi menyalahgunakan jentera kerajaan negeri menghukum pesaing politiknya.
Khalid pada 25 Januari lalu memberi kenyataan bahawa PKNS membuat tafsiran salah ke atas keputusan mesyuarat exco, yang menyebabkan Azmin disingkir dari jawatan berkenaan.
Beliau turut memberi jaminan untuk mendedahkan dokumen tertentu bagi membuktikan kebenaran dalam kes berkenaan, yang sepatutnya dikemukakan dalam persidangan hari ini.

