Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan matlamat kerajaan mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 5.0 dan 5.5 peratus tahun ini.

"Kami yakin ini mampu dicapai kerana penggunaan swasta yang kukuh ditambah dengan pelaburan swasta yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penilaian Antarabangsa 2014, di Kuala Lumpur hari ini.

Sidang lima hari itu yang bermula pada 24 Mac dianjurkan oleh Persatuan Penilaian Malaysia.

Ahmad Husni berkata pelaburan swasta dari 2010 hingga 2013 bertambah 3.5 kali ganda, manakala pada suku keempat tahun lepas, ia meningkat kepada 16.5 peratus daripada 15.2 peratus suku sebelum itu, berikutan perbelanjaan modal lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Beliau berkata banyak projek mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan yang bermakna pelaburan akan kekal kukuh.

Beliau berkata sasaran pertumbuhan KDNK itu adalah hasil daripada peningkatan kecekapan dalam perbelanjaan kerajaan, dipacu oleh pelaksanaan dasar bajet berasaskan hasil (OBB) yang diperkenalkan pada Bajet 2014, melibatkan Kementerian Kewangan, Kesihatan dan Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Ia mencapai kemajuan baik. Tahun hadapan kami akan melibatkan lima lagi kementerian yang dikenal pasti pada pertengahan tahun ini, dan menjelang 2016 semua kementerian akan terlibat dalam pelaksanaan OBB.

"Ini merupakan inisiatif untuk mentransformasikan bajet kerajaan bagi menjamin dana dibelanjakan dengan cekap," katanya.

Dalam usaha mengukur kejayaan pelaksanaan OBB, Ahmad Husni berkata kerajaan baru-baru ini melancarkan portal Myresults untuk memudahkan proses penilaian.

"Saya yakin langkah ini akan meningkatkan kecekapan kerajaan," katanya.

- Bernama