Waris di New Zealand kata hanya terima SMS
Waris kepada seorang penumpang di New Zealand menyatakan kemarahan mereka ke atas tindakan Malaysia Airlines yang hanya memaklumkan mengenai nasib menimpa penerbangan MH370 melalui pesanan SMS.
Sara Weeks, kakak kepada Paul Weeks dalam satu temubual dengan media tempatan berkata keadaan itu telahpun ditangani dengan cara yang “amat tidak sensitif”.
Isteri Paul menerima pesanan SMS dari Malaysia Airlines manakala Sara menerima berita tersebut pada jam 3.30 pagi melalui panggilan telefon daripada ibunya, yang tidak mahu Sara mengetahui mengenai nasib MH370 melalui laporan berita.
“Semua orang marah dengan perkara itu.
“Kerajaan Malaysia, syarikat penerbangan, semuanya sangat lemah.
“Siapa yang boleh kata mereka tidak boleh kesan penerbangan tersebut pada hari ia berlaku,” katanya.
Tambahnya, maklumat berkenaan tidak dimaklumkan kepada mereka dan mengambil masa lama sebelum mereka menerimanya.
Kenyataanya itu timbul ekoran rayuan oleh pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar keluarga para penumpang bertenang.
Hishammuddin turut memuji keluarga Australia, yang menurutnya memberi reaksi rasional ke atas kemalangan tersebut,
Hishammuddin membandingkan sikap keluarga Australia itu dengan bantahan oleh keluarga waris di China yang berhimpun dan melaungkan slogan di kedutaan Malaysia di Beijing.
Waris berkenana menggelar kerajaan Malaysia sebagai “algojo” kerana menyimpulkan bahawa 239 orang dalam penerbangan tersebut mati walau tanpa bukti fizikal.

