Pelawak dan penyanyi veteran, Datuk Jantan Osman, 63, atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat komplikasi paru-paru.
Menurut anak perempuannya Normala, 28, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi kaum keluarga pada pukul 4.20 pagi setelah dirawat di pusat perubatan berkenaan sejak Rabu lepas akibat sesak nafas.
Normala menyifatkan allahyarham bapanya itu sebagai seorang yang tegas serta mahu selalu memberikan yang terbaik buat keluarga.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Rohani Wahab, 53, dan tiga anak serta enam cucu.
Jenazahnya selamat dikebumikan pada pukul 11 pagi ini di tanah perkuburan Islam Qariah Dusun Tua di Hulu Langat.
Allahyarham mula mencipta nama melalui sitkom 'Santan Berlada' bersama Yusof Hamid atau OS dan Acappan.
Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu semasa, antara lagu popular nyanyian beliau adalah Apa Dah Jadi, Joget Di mana Lah Jodoh dan Semua Naik.
Allahyarham yang merupakan anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun, dan telah dianugerahi gelaran Darjah Seri Melaka oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.
- Bernama
