Pemilihan ketua Wanita PKR berkemungkinan menjadi perang proksi apabila timbalan ketua Wanita Rodziah Ismail mengumumkan mencabar penyandang Zuraida Kamaruddin.

Rodziah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga hari ini menggesa perubahan dilakukan demi memberikan kesegaran untuk agenda masa depan sayap PKR itu.

Zuraida mengumumkan akan mempertahankan jawatan ekoran maklum balas positif yang mahu beliau terus menyandang kerusi itu.

Dalam kenyataannya semalam, beliau mengalu-alukan cabaran daripada calon lain sebagai menghormati proses demokrasi.

Walaupun tidak jelas kesetiaannya pada mana-mana kumpulan, kedudukan Rodziah sebagai exco Selangor menyebabkannya dilihat berada dalam kem Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid turut bertanding jawatan timbalan presiden yang kini disandang Azmin Ali, langkah yang dilihat bakal membesarkan lagi pergeseran dalaman.

Penamaan calon esok

Azmin sehingga kini masih berteka-teki sama ada akan mempertahankan kerusi itu. Bagaimanapun penamaan calon bermula esok.

Azmin kini memegang jawatan pengerusi PKR Selangor manakala Zuraida menjadi timbalannya di peringkat negeri.

Azmin, bekas pembantu Anwar ketika menjadi timbalan perdana menteri dikatakan selesa dengan sokongan daripada akar umbi.

Zuraida telah dijanjikan sokongan daripada ketua-ketua Wanita negeri daripada Perlis, Perak, Penang, Kelantan dan Melaka.

Sementara itu, pertandingan untuk sayap Pemuda (AMK) pula akan menyaksikan ketua baru apabila penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin terpaksa meninggalkan jawatannya ekoran faktor umur.

Tiga calon hampir pasti akan berentap, iaitu Setiausaha PKR Selangor Amiruddin Shari, Ketua AMK Negeri Sembilan Nazree Yunus dan Ketua AMK Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad.