Najib: Defisit fiskal bukan perkara buruk
Defisit fiskal domestik tidak semestinya bukan perkara buruk, kata Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak kepada Dewan Rakyat hari ini.
Najib berkata demikian bagi menjawab kritikan pembangkang berhubung peningkatan hutang negara.
Menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Najib berkata, kedudukan fiskal negara defisit sejak 90-an akhir.
Ia bagaimanapun, tambah Najib, tetapi tidak sama sekali menjejaskan pembangunan negara.
"Perlu diketahui, defisit fiskal bukannya satu perkara yang tidak baik.
"Kedudukan fiskal negara telah berada pada tahap defisit sejak akhir tahun 1990-an dan keadaan ini tidak menghalang negara daripada terus membangun.
"Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan kewangan negara sentiasa berdaya tahan untuk menghadapi sebarang krisis ekonomi pada masa hadapan," katanya sewaktu bercakap di Parlimen, pagi ini.
Hutang tak lebih 55%
Tegas Najib, transformasi ekonomi perlu diteruskan untuk memastikan hutang negara tidak melebihi kadar 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ditetapkan kerajaan.
"Ini kerana apabila hutang negara terkawal, ia akan memberi keyakinan kepada pelabur, untuk terus melabur di negara kita, khususnya dalam pasaran modal atau capital market .
"Sebaliknya, jika penarafan kedaulatan negara ( sovereign rating ) diturunkan, ia akan memberi implikasi kos pinjaman yang meningkat dan memberi tekanan kepada nilai matawang negara.
Menurutnya lagi, kebanyakan negara juga melakukan pemotongan subsidi kerana keadaan semasa ekonomi sedunia.
"Pada masa kini, kebanyakan negara telah mengambil langkah drastik untuk mengurangkan defisit fiskal mereka.
"Namun Malaysia mengambil pendekatan secara beransur-ansur (gradualisme) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pada masa yang sama berupaya mengekalkan kesejahteraan rakyat," katanya.
Penjimatan dari pemotongan subsidi akan dikembalikan kepada rakyat menerusi dana pembangunan atau subsidi bersasar.

