Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib presiden PKR Tian Chua berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri dari pertandingan enam penjuru untuk merebut jawatan timbalan presiden parti.

Katanya, beliau mungkin hanya mempertimbangkan jawatan setiausaha agung parti demi menjaga persahabatan dengan salah seorang pencabarnya, Datuk Saifuddin Nasution.

Katanya, beliau akan berbincang dengan pimpinan tertinggi dan dengan setiausaha agung parti itu demi menguatkan lagi barisan kepimpinan parti.

"Keputusan akan dibuat satu dua hari lagi. Saya nak jaga persahabatan dengan Saifuddin,” katanya.

Tian turut membayangkan bahawa beberapa calon lain yang merebut jawatan tersebut juga akan menarik diri selepas rundingan tersebut.

"Untuk memastikan kurangnya persaingan dan menambah peluang kemenangan, lebih baik bertanding sebagai satu pasukan.

"Kita boleh memegang peranan berbeza dalam parti bagi memastikan apa yang kita mahu dapat dicapai bersama," katanya.

Lima lagi calon jawatan timbalan presiden ialah Azmin Ali, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandram, dan Murali Subramaniam.

Ambil kira pengalaman, pengaruh

Menurut Tian beliau menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden semasa proses pencalonan tersebut dengan mengambil kira pengalaman dan pengaruhnya dalam parti.

Katanya, beliau mampu menjadi perantara di antara kelompok pengasas parti – digelar sebagai golongan reformasi – dan juga para pemimpin yang menyertai PKR kemudian.

"Dalam barisan pimpinan sekarang, saya dan presiden, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berada dalam jawatankuasa parti pertama (1999) di antara semua yg bertanding.

“Saya berterusan dalam kepimpinan parti. Jadi boleh dikatakan paling kanan di antara semua calon (Timbalan dan naib presiden)," kata beliau yang pernah menjadi ketua penerangan dan pengarah strategi parti itu.

MP Batu itu bagaimanapun menegaskan bahawa beliau akan terus berkhidmat untuk parti sekalipun tidak memenangi apa juga jawatan.

"Jika saya kalah (pemilihan) tidak bermakna saya tidak boleh berkhidmat untuk parti. Saya hanya perlu menyesuaikan diri dalam peranan lain dan terus berkhidmat untuk parti," kata beliau.

ADS