Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kini berada di Hawaii menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat (AS)-Asean pertama dan beberapa acara berkaitan.  

    

Hishammuddin diiringi dalam lawatan itu oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin serta beberapa orang pegawai kanan kementerian.

    

Ketibaan Hishammuddin di Honolulu pada petang Isnin disambut oleh Brig Jen Mark McLeod dari Komand Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM).

    

Hawaii lewat 18 jam di belakang Malaysia.  

    

Hishammuddin berkata semasa di Hawaii, beliau akan berkongsi dengan rakan sejawatannya dari Asean dan kerajaan AS tentang perkembangan terbaru mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.

Peluang itu, katanya, akan juga digunakan bagi menyampaikan penghargaan Kuala Lumpur atas bantuan mereka dalam pencarian secara besar-besaran jetliner Malaysia itu.  

    

Pesawat yang dijadual ke Beijing bersama 239 orang di dalamnya itu hilang penuh misteri pada 8 Mac setelah berlepas kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Pencarian pesawat kini ditumpukan di bahagian selatan Lautan Hindi.

    

Pada Selasa, Hishammuddin dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brunei, Filipina, Singapura, dan Vietnam.

    

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Komander USPACOM Laksamana Samuel Locklear dan Lt Jen Terry G. Robling, Komander Pasukan Marine Corps, Pasifik, AS.

    

Dialog AS-Asean pada Khamis yang dirasmikan pembukaan oleh Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel akan didahului Persidangan Meja Bulat Keselamatan Bukan Tradisional sehari sebelumnya.

    

-Bernama