Pegawai dakwa EAIC ditubuh untuk gagal
Badan pemantau hak asasi Human Rights Watch (HRW) mendapati satu siasatan demi siasatan oleh satu suruhanjaya yang ditubuhkan untuk mengawasi salah laku polis menemui jalan buntu disebabkan kekurangan dana dan kakitangan.
Ia merupakan antara hasil kajian HRW melalui temubual dengan mangsa salah laku polis, pegawai pasukan berkenaan, dan juga badan pemantau, termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
Seorang pegawai EAIC, yang tidak dinamakan dalam laporan setebal 102 halaman itu menyebut bahawa kekurangan dana untuk suruhanjaya tersebut bermaksud badan tersebut “ditubuhkan untuk menemui kegagalan”.
Laporan bertajuk 'No Answers, No Apology' itu menyebut, suruhanjaya yang ditubuhkan pada April 2011 untuk menyelia 19 agensi penguatkuasaan termasuk polis, tidak dapat menjalankan mandatnya akibat kekurangan dana.
Untuk tahun 2014, EAIC diperuntukkan RM7.7 juta – jumlah yang kecil jika dibamdinghkan demgam dana untuk unit propaganda Biro Tatanegara (RM60 juta).
Sejak penubuhannya pada akhir 2012, EAIC hanya menjalankan satu tindakan disiplin dan dua amaran,
Dana yang tidak memadai itu juga bermaksud siasatan akan memakan masa sekurang-kuranya “dua hingga tiga bulan” lapora HRW yang menyebut suruhanjaya itu hanya mempunyai seorang penyiasat sehingga akhir Jun 2013.
Keadaan ini berlaku selepas beberapa orang pegawai penyiasatnya dipanggil balik ke agensi asal mereka, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut laporan itu, bekas ketua pegawai operasi EAIC Nor Afizah Hanum Mokhtar menganggarkan bahawa badan itu sepatutnya mempunyai kekuatan 10 orang pegawai penyiasat dan 10 orang pegawai penyelidik.
Menurut laporan tersebut, Nor Afizah Hanum sendiri dipindahkan keluar dari suruhanjaya tersebut selepas beliau membuat beberapa kenyataan kepada media.

