Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan tuntutan RM 844 juta daripada Tropicana untuk tanah di Kuala Langat adalah tindakan tepat.

Menurutnya, beliau 'sangat pasti' dengan tuntutan tersebut kerana Tropicana telahpun mendapat keuntungan awal berdasarkan harga tanah tersebut.

"Yang ada ialah kerajaan negeri sangat-sangat pasti untuk menentukan pembayaran persefahaman penjualan tanah tersebut dibayar dengan lebih awal kerana syarikat sudah dapat keuntungan awal dari penjualan tersebut... ada dalam perjanjian yang dilakukan syarikat," kata Khalid dalam sidang media hari ini.

April tahun lepas, kerajaan negeri telah menjual 1,172 ekar tanah paya di Kuala Langat milik MBI berserta dengan pelan pembangunan kawasan tersebut.

Menurut Ketua Eksekutif MBI, Faekah Hussin, 15 syarikat terkemuka membuat bidaan untuk tanah tersebut namun berjaya dijual kepada Tropicana (dulu dikenali sebagai Dijaya) yang membuat bidaan paling tinggi bernilai RM 1.29 billion.

Selangor telah bersetuju agar Tropicana membayar bayaran 'tertunda' dalam tempoh 20 tahun, termasuk 12 tahun ansuran nilai tanah sebanyak RM587 juta ringgit.

"Tanah itu tidak ada nilai sebelum diambil alih MBI. Ia kemudian diserahkan kepada PNSB (Permodalan Negeri Selangor Berhad) untuk dinilai dan dirangka pelan pembangunan sebelum dijual kepada pembida swasta.

"Kita bukan sahaja jual tanah sebaliknya kita turut beri pelan pembangunan kepada Tropicana," katanya.

Faekah (kanan) menambah jumlah RM 844 juta itu bukan hanya untuk 308 ekar yang telah dijual kepada Eco World, sebaliknya untuk semua 748 ekar tanah yang boleh dibangunkan di kawasan itu.

Beliau berkata nilai itu dikira berdasarkan penjualan 308 ekar tanah itu pada harga RM470 juta membawa kepada nilai tanah setinggi RM1.12 juta seekar.

"Jadi 748 ekar didarab RM 1.12 juta ialah RM 844.2 juta yang dituntut kerajaan negeri," katanya.

Faekah turut mempertahankan mengapa Khalid mengadakan perjanjian bayaran ansuran Tropicana sebelum ini kerana ia bakal memberi pendapatan jangka masa panjang untuk negeri dan membantu syarikat pembangunan milik negeri mendapatkan kerja.

"Kita tak hanya jual tanah itu, kita jual sekali pelannya. Tan Sri (Khalid) tak mahu PNSB, PKNS dan KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad) serta syarikat milikan negeri hanya jadi broker tanah.

"Itu juga sebab kita minta perkongsian keuntungan sebanyak 5 peratus selama 20 tahun," katanya.