Pemilihan PKR: Khalid tak akan tarik diri
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tiada rancangan untuk menarik diri dari persaingan timbalan presiden PKR.
Menjawab soalan pemberita adakah beliau akan menurut cadangan Naib Presiden PKR Tian Chua semalam agar calon timbalan presiden menarik diri untuk “mengurangkan persaingan”, Khalid menjawab ia hak setiap ahli.
"Itu terpulang kepada individu. Itu keistimewaan PKR.
“Mereka beri peluang kepada semua yang berminat untuk menawarkan diri (bertanding)," kata Khalid dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Semalam Tian Chua mengatakan satu rundingan bakal diadakan dan beberapa calon dilihat akan menarik diri bagi 'mengurangkan persaingan' dan bertanding sebagai satu pasukan pada pemilihan parti akhir bulan ini.
Tian turut menyeru semua ahli parti itu menolak hanya satu puak atau kumpulan saja daripada menguasai parti itu.
Khalid tidak memberi jawapan jelas ketika ditanya adakah beliau bercita-cita untuk menjadi presiden atau kekal menjadi menteri besar Selangor jika berjaya memenangi jawatan timbalan presiden.
Beliau sebaliknya hanya berkata, lebih banyak ketidaktentuan dalam politik berbanding dunia korporat yang diceburinya sebelum ini.

