MB kata tak terlibat berhentikan pekerja hotel
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mendapatkan penjelasan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) berhubung tindakan memberhentikan 105 kakitangan Hotel Quality Shah Alam.
Tegasnya, beliau juga tidak terlibat dengan keputusan ahli lembaga Kumpulan Perangsang Selangor, berhubung pemberhatian pekerja berkenaan dan juga usaha penstrukturan semula syarikat tersebut, lapor akhbar Sinar Harian.
"Walaupun anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehasan Berhad (KDEB) mempunyai milikan majoriti saham dalam KPS, tetapi pengurusan adalah di bawah jagaan ahli lembaga pengarah KPS.
"Saya pasti apa-apa keputusan KPS mesti mengambil kira kebajikan pekerja dan mengikut tatacara Akta Perhubungan Industri.
"Saya tak boleh komen kerana itu adalah hal ahli lembaga dan pengurusan KPS," kata Khalid seperti dipetik dalam laporan itu.
Akhbar berkenaan turut memetik kenyataan KPS yang menyebut, operasi hotel berkenaan terpaksa dihentikan kerana berdepan kerugian lebih 10 tahun dan tidak mampu bersaing dengan hotel lain di situ.
Ketua jabatan perhubungan awam KPS berkata hotel tersebut hanya mendapat sambutan ketika memulakan operasi pada 1988.
“Pada awalnya sahaja dapat sambutan, tapi bila muncul banyak pesaing, perniagaan merudum dan keputusan pemberhentian ini diumumkan 31 Mac lalu.
"Seramai 105 pekerja terjejas berikan notis dua bulan dengan tarikh tamat perkhidmatan pada 31 Mei. Begitu pun kita berikan pelbagai bentuk persediaan," katanya dalam satu lagi laporan.
Amin Lin menjelaskan semua pekerja itu akan dibantu dengan penyediaan sesi kaunseling untuk perancangan kewangan dan teknik temu duga bermula Isnin ini.
"Sekarang mereka yakin ada duit dan majikan tolong carikan kerja baru. Kita akan tolong mereka dapatkan kerja dalam bidang perhotelan malah peluang dalam bidang keusahawanan, termasuk termasu mengajar cara buat resume," katanya.

