2,000 hadir beri penghormatan terakhir
Upacara penghormatan terakhir untuk Irene Fernandez yang berlangsung dalam suasana tenang dan tertib hari ini gamat seketika apabila suami mendiang, Joseph Paul berkongsi kenangan bersama “wanita bersemangat waja” itu.
Walaupun sedih dengan pemergian isterinya itu, Paul masih mampu berjenaka mengenai Irene, 67, yang dikenali ramai sebagai seorang wanita yang tegas.
"Tapi di dalam hatinya, dia seorang yang lembut dan berjiwa sensitif.
“Maaf Irene, kamu mungkin marah mendengar perkara ini," katanya yang disambut dengan ketawa oleh kira-kira 2,000 orang yang hadir dalam upacara itu.
Turut berucap di upacara itu ialah anak mereka, Katrina.
Katrina menyanjungi kecintaan ibunya pada keadilan, yang dipupuk ke dalam diri mereka sejak kecil.
“Ketika kami masih kecil, ibu akan menjunjung kami di atas kepala dan kami berasa seperti dibawa terbang tinggi jauh daripada segala kekejaman dunia.
Tambahnya, ibunya juga sering menyanyi satu lagu yang disangka sebagai lagu kanak-kanak – tetapi sebenarnya lagu oleh penyanyi reggae Bob Marley.
Beliau turut menyanyikan bait-bait lagu tersebut: “Get up, stand up. Stand up for your right (Bangunlah, bangkitlah. Perjuangkan hak anda)” - yang turut disambut dengan ketawa para hadirin.
Irene turut meninggalkan dua orang lagi anak, Camverra dan Tania.
Upacara yang berlangsung dalam suasana tenang dan tertib itu bermula pada jam 3 petang dengan bacaan doa oleh ketua biskop Pulau Pinang Sebastian Francis dan nyanyian koir keagamaan.
Para hadirin seterusnya berpeluang menatap wajah Irene buat kali terakhir sebelum mayatnya dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk dibakar.
Difahamkan, abu mayat beliau akan dikebumikan bersama di pusara ibu bapanya di Sungai Petani, Kedah.
Pejuang hak asasi itu meninggal dunia pada jam 10.58 pagi ini di Unit Rawatan Koronari Hospital Serdang selepas menjalani rawatan akibat komplikasi jantung.
Antara yang hadir dalam upacara hari ini ialah anggota exco Selangor Elizabeth Wong, peguam kanan Datuk S Ambiga, MP Wangsa Maju Tan Kee Kwong dan juga ketua pengarang Malaysiakini Steven Gan.

