BERITA

Hisham tak fikir sesiapa pun dibersih dari siasatan

Koh Jun Lin

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Apr 2014, 1:54 tengahari

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.

Kenyataan Hishammuddin itu nampaknya bercanggah dengan kenyataan polis bahawa semua penumpang pesawat MH370 yang hilang telah dibersihkan daripada sebarang siasatan.

"Saya tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan," katan Hishammuddin dalam taklimat media hari ini.

"Sepanjang senarai yang ditunjukkan, ia termasuk juga anak-anak kapal. Empat kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN) ingatkan kami, siasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi.  Itu, saya tahu masih berjalan," tambahnya.

Hishammuddin berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita mengapa masih tiada berita sama ada anak kapal MH370 telah dibersihkan dari siasatan sejak penumpang dilaporkan telah dibersihkan lebih awal.

Pada hari Rabu, Ketua polis Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis telah membersihkan semua penumpang daripada siasatan berhubung iasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi, yang merupakan fokus utama siasatan pihak berkuasa.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata beliau tiada masalah dalam mendapatkan maklumat tentera dan data radar dari negara-negara Asean terutamanya yang terlibat dalam operasi menyelamat yang kini telah masuk hari ke-29.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi Laut China Selatan.  Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari yang disertai oleh pelbagai negara pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan, tetapi setelah didapati pesawat itu melencong daripada haluannya, dan terbang sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan di koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah menganalisis data satelit yang tidak pernah digunakan sebelum ini, syarikat satelit komunikasi British Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom merumuskan penerbangan MH370 terbang sepanjang koridor selatan and kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi,   

barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lepas, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi."

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.