Calon untuk jawatan ketua AMK Amirudin Shari berkata beliau menyokong cadangan untuk mengadakan debat di antara enam orang calon yang merebut jawatan timbalan presiden PKR, termasuk gandingannya Azmin Ali.

Amiruddin berkata, beliau sendiri menyertai satu program debat bersama dua lagi calon ketua AMK – Nazree Yunus dan Nik Nazmi Nik Ahmad di Batu Pahat, dua bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata waktunya mungkin tidak sesuai kerana enam orang calon berkenaan kini terpaksa melalui jadual harian yang sibuk menjelang pemilihan yang akan berlangsung pada bulan depan.

"Saya fikir cadangan berdebat itu baik tetapi masanya tak sesuai sekarang.

"Calon sekarang nak guna masa balik ke akar umbi untuk bertemu dengan mereka. Masa (untuk pengundian) dah dekat," katanya lagi.

ADUN Batu Caves itu secara sinis turut berkata salah seorang calon timbalan presiden, menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan mendapat mendapat perhatian TV3 jika debat disiarkan melalui televisyen.

"Lainlah kalau debat tersebut dibuat secara langsung dalam televisyen. Hanya Khalid saja yang dapat liputan TV3," katanya ketika ditemui di bangunan DUN Selangor hari ini.

Kenyataannya itu merujuk kepada tindakan Khalid yang

muncul dalam satu program wawancara disiarkan stesen TV yang sering membuat liputan negatif ke atas PKR.

Jawapannya itu juga dilihat menggambarkan persepsi dari kem beliau dan Azmin terhadap kem menteri besar, lebih-lebih lagi ketika Khalid kini menjadi sasaran pelbagai kritikan , termasuk dari para ADUN DAP.

Selain Azmin dan Khalid, empat lagi calon jawatan timbalan presiden ialah Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandram, dan Murali Subramaniam.

Cadangan dan desakan untuk mengadakan debat berkenaan muncul di media sosial sejak minggu lalu apabila enam pemimpin PKR itu disahkan sebagai calon untuk merebut jawatan tersebut.

Malah, beberapa orang aktivis politik juga dikesan muncul di bangunan Parlimen, pejabat PKR dan juga di bangunan DUN hari ini, dipercayai untuk melobi para calon untuk menyertai satu program debat yang sedang dirancang.