Tian Chua mahu pertahan jawatan naib presiden
Pemimpin PKR Tian Chua menarik diri daripada persaingan jawatan timbalan presiden dan akan mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu.
Bagaimanapun beliau menafikan akan menyebelahi mana-mana kumpulan dalam pemilihan parti bulan depan.
"Saya dah berjumpa dengan hampir semua calon timbalan dan terangkan misi dan visi saya... saya yakin mereka (calon) faham dan mampu bawa.
"Oleh itu saya buat keputusan untuk hanya mempertahankan jawatan naib presiden," katannya dalam satu sidang media khas hari ini.
Calon timbalan presiden Datuk Saifudin Nasution Ismail bersama calon naib presiden dari kumpulan 'membina masa depan bersama' Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh dan Rafizi Ramli adalah antara pemimpin PKR yang hadir memberi sokongan moral kepada Tian hari ini.
Pemimpin PKR lain yang muncul ialah MP Bayan Baru, Sim Tze Zin dan ketua koordinator Solidaridariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
Menurut Tian kehadiran mereka yang baru sahaja bersama melancarkan kempen dan kumpulan 'Masa Depan Bersama' tidak bermaksud beliau akan berkempen bersama kumpulan itu.
"Mereka adalah individu yang datang untuk menyokong. Sebelum ini saya datang pelancaran kempen Datuk Saifuddin sekarang dia datang menyokong saya. Saya gembira ramai rakan dan pencabar datang untuk beri sokongan," katanya.
Sementara itu Saifuddin mengatakan Tian adalah aset bernilai PKR namun secara rasmi bukanlah bawah kumpulan beliau.
Sebaliknya Saifudin menganggap Tian bersama dalam 'semangat' dan persefahaman mereka.
Beliau berkata kumpulan beliau termasuk Nurul Izzah, Rafizi dan Fuziah mempunyai visi yang sama dalam menentukan masa depan parti.
"Masa saya melancarkan kempen saya, saya letak dua tema iaitu 'pelan penggantian' (succession plan) dan kepimpinan berkelompok.
"Bakat, pengalaman dan cara perjuangan dalam parti telah mempertemukan kami," kata Saifuddin.
Sehingga ini, lima pemimpin masih mencabar jawatan itu termasuk timbalan presiden ialah Saifuddin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan penyandang Azmin Ali yang dilihat membawa tiga kumpulan berbeza dalam parti.

