BN persoal wang rakyat untuk keluarga ISA
Diterbitkan: Apr 12, 2014 11:20 AM | Dikemas kini: Apr 12, 2014 11:23 AM
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor membidas tindakan kerajaan negeri menggunakan wang rakyat berjumlah RM500,000 untuk disalurkan kepada sebuah yayasan khas yang membantu keluarga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd Shamsuddin Lias (
kanan
) berkata penggunaan wang itu untuk disalurkan kepada yayasan berkenaan tidak sesuai memandangkan akta itu telah dimansuhkan sejak 2011 oleh kerajaan Persekutuan.
Tambahan pula, katanya kesemua individu yang ditahan di bawah akta itu telah dibebaskan sebelum ini.
"Kita mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri ingin menggunakan wang rakyat dalam jumlah berkenaan bagi tujuan itu serta penubuhan yayasan itu seolah-olah bermotifkan politik untuk mencapai agenda tertentu.
"Jika yayasan ini adalah tujuan politik, amat malang wang rakyat digunakan untuk perkara-perkara seumpama itu," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam, semalam.
Mohd Shamsuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap pada sesi penggulungan DUN Selangor bahawa kerajaan negeri bersetuju menyalurkan RM500,000 wang rakyat kepada yayasan berkenaan yang dipengerusikan oleh ADUN Kajang Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Abdul Khalid berkata peruntukan itu adalah bagi membolehkan Wan Azizah bersama-sama kerajaan negeri menjalankan kerja-kerja kebajikan menerusi yayasan itu dalam membantu keluarga tahanan yang menerima kesan buruk daripada pelaksanaan ISA.
- Bernama

