RM10j untuk pam air ke lembangan Sg S'gor
Mesyuarat exco Selangor hari ini meluluskan peruntukkan RM10 juta bagi membina infrastruktur bagi kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar lembangan sungai Selangor ke Sungai Selangor.
Peruntukkan itu termasuk membeli pam berkeupayaan tinggi bagi memastikan kerja-kerja pengepaman memberi kesan maksimum dan mampu meningkatkan paras air di Sungai Selangor.
“Infrastruktur ini juga akan digunakan bagi mengepam air Sungai Selangor ke kolam takungan apabila paras air sungai mencapai paras normal sebagai persediaan menghadapi musim kering berlanjutan yang diramal akan berlaku antara akhir Mei sehingga September tahun ini,” kata menteri besar.
Setakat jam 8 pagi ini, paras air di Empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu.
Walaupun empangan lain terus menunjukkan peningkatan melebihi paras 50 peratus namun ia hanya membekalkan sebahagian kecil air kepada pengguna berbanding Empangan Sungai Selangor.
Empangan Sungai Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus keperluan pengguna di Lembah Klang.

