Dr M: Umat Islam di M'sia belum sedia laksana hudud
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau melihat umat Islam di negara ini belum bersedia melaksanakan hukum hudud.
Katanya, ini kerana pihak yang ingin melaksanakan hudud itu tidak
mengutamakan soal keadilan yang ditekankan dalam Islam, sebaliknya melaksanakan hudud mengikut cara mereka sendiri.
"Hudud adalah sebahagian daripada syariat Islam dan baik, tetapi kita tidak boleh beri kuasa untuk menghukum kepada orang yang tidak faham tentang keadilan yang disebut dalam Al-Quran.
"Dalam Islam bukan hukuman berat yang diutamakan," katanya selepas
melancarkan buku 'Saya, SPR dan Pilihan Raya' tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Tambahnya, beliau tetap dengan pendiriannya sebelum ini bahawa tidak adil berlaku perbezaan hukuman antara umat Islam dan bukan Islam bagi kesalahan yang sama.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin menyatakan kerajaan tidak pernah menolak hudud, sebaliknya banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat dilaksanakan
Katanya, banyak kekangan dan keutamaan yang perlu diselesaikan dan
diperhalusi sebelum hukum hudud dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan matlamat hukum yang sebenar.
Najib berkata sebelum melaksanakan hudud, pastikan masyarakat Islam bersedia untuk melaksanakannya baik dari segi pemahaman, penghayatan, mental mahupun pemikiran.
- Bernama

