Adenan sokong hasrat TERAS sertai BN
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini menyambut baik kesediaan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) untuk menyertai Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Sambil menyokong hasrat parti itu menyertai gabungan BN, beliau berjanji akan membantu TERAS dalam proses permohonannya itu.
"Saya akan memaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengenai perkembangan ini," kata beliau pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Kuching hari ini.
Adenan berkata bagaimanapun, setakat ini belum ada keperluan untuk beliau melakukan sebarang rombakan Kabinet.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan 11 anggota Parlimen (MP) dan ADUN dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pekerja Sarawak (SWP), yang keluar parti masing-masing semalam untuk menyertai TERAS.
Kumpulan itu diketuai bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.
Turut menyertai TERAS ialah lima bekas ahli SPDP iaitu MP Baram Anyie Ngau dan empat ADUN iaitu Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi), Datuk Peter Nansian Ngusie (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).
Wakil SUPP ialah bekas pengerusi Bahagian Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan, serta Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Johnicol Rayong (Engkilili).
ADUN Pelagus George Lagong dari SWP juga keluar daripada parti pembangkang itu untuk menyertai TERAS.
Sementara itu, Mawan berkata kunjungan hormat itu adalah untuk menyatakan sokongan dan taat setia mereka kepada pucuk pimpinan Adenan selaku Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN Sarawak.
Menurutnya mereka turut meminta nasihat Adenan mengenai hala tuju TERAS sebagai sebuah parti baru.
"Kami akan mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai BN dalam masa terdekat," kata Mawan yang juga menteri pembangunan sosial Sarawak dan MP Saratok dan ADUN Pakan.
Datuk Seri Wong Soon Koh pula berkata beliau dan ADUN SUPP turut menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Adenan.
- Bernama

