Proton bangga kesediaan Dr M jadi pengerusi
Proton Holdings Bhd bangga dengan kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkhidmat sebagai pengerusinya berkuatkuasa 16 Mei lalu.
Beliau juga telah dinamakan sebagai Pengerusi Group Lotus plc (Lotus), iaitu anak syarikat Proton.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai insan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam industri berkenaan.
Dr Mahathir mengambil alih jawatan itu daripada Mohd Khamil yang akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi eksekutif, tetapi kekal sebagai ahli lembaga pengarah Proton.
Sebelum pelantikannya sebagai pengerusi, Dr Mahathir adalah penasihat Proton sejak 2003, selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri.
"Dengan menerima jawatan itu, beliau telah menunjukkan kesediaan untuk menghabiskan masa dan tenaga bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi
Proton," kata Mohd Khamil.
Sementara itu, Proton dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesediaan Dr Mahathir memegang jawatan itu membuktikan kesungguhannya untuk melihat pengeluar kereta nasional itu berjaya.
"Dr Mahathir kini boleh meluangkan lebih banyak masa di Proton sebagai pengerusi. Ini tentunya akan memperkukuhkan syarikat dalam misinya untuk menjadi peserta automotif yang terkenal di seluruh dunia," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah.
Dr Mahathir memainkan peranan penting dalam konsepsi dan kemajuan industri automotif di Malaysia. Wawasan, idea serta kepemimpinan beliau telah membimbing Proton sejak ia diwujudkan pada 1983.
Beliau bukan hanya mahu melihat kereta national dihasilkan tetapi juga meningkatkan kapasiti ekonomi negara, terutama dalam menguasai pengetahuan kejuruteraan automotif serta kaedah pengeluaran moden dan yang lebih penting menjadikan semua rakyat Malaysia mampu memiliki kereta.
Sejak ditubuhkan, Proton telah memacu ekosistem pengeluaran automotif tempatan dengan pasukan juruteranya memiliki kemahiran kejuruteran tahap tinggi sehingga ia mampu mereka bentuk, membuat dan mengeluarkan kereta.
- Bernama

