Dua parah kemalangan atas jambatan P Pinang
Dua parah dalam kemalangan melibatkan dua kereta dan dua motosikal di Kilometer 7.01 Jambatan Pulau Pinang menghala ke arah pusat bandar malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata kedua-dua mangsa adalah penunggang motosikal dan identiti mereka masih belum dikenal pasti.
"Mangsa kemalangan telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Kesemua kenderaan terlibat hanya dapat dialih sepenuhnya pada pukul 10.20 malam ini," katanya kepada pemberita di George Town.
Beliau berkata pemandu dan penumpang kereta jenis Mini Cooper dan Toyota Camry tidak mengalami kecederaan serius.
Kemalangan pukul 8.50 malam itu bermula apabila Mini Cooper yang dipandu lelaki berumur 18 tahun bersama dua penumpang dari arah Seberang Perai hilang kawalan sehingga merempuh tembok dan terbabas ke laluan bertentangan.
Kereta itu kemudiannya bertembung pula dengan Toyota Camry yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an.
Pemandu Toyota Camry yang tidak sempat mengelak Mini Cooper itu kemudiannya terlanggar dua penunggang motosikal berkenaan.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan luar biasa di kedua-dua arah hampir 10 kilometer.
Tinjauan mendapati sekurang-sekurangnya enam kenderaan pelbagai jenis diletakkan di bahu jambatan kerana rosak turut menjadi penyebab trafik bergerak perlahan sehingga pukul 11 malam tadi.
- Bernama

