Kangkung muncul di Teluk Intan
TELUK INTAN Isu kangkung masih menjadi modal penyokong Pakatan Rakyat menyindir Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.
Insiden di Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia kira-kira jam 10 pagi tadi menyaksikan kekecohan berlaku apabila penyokong BN dan DAP yang dipisahkan hanya lima meter dari satu sama lain oleh dua buah kenderaan pacuan empat ronda bertengkar dan pergaduhan hampir tercetus.
Penyokong BN berang apabila penyokong DAP menggantung kangkung dengan wang kertas RM1 di hujung galah.
"Hoi! Kangkung tu turunkan! DAP celaka!" jerit sebahagian penyokong BN ke arah penyokong DAP.
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penurunan harga kangkung di Kemaman Januari lalu telah disebar meluas dan menjadi bahan sindiran dan gelak ketawa di Internet.
Di PRK Kajang Mac lalu, penyokong PKR menyanyikan lagu 'Lenggang-lenggang Kangkung' yang dipopularkan seniwati Saloma pada tahun 1960-an.
Ini adalah PRK keenam selepas PRU13, dan PRK kawasan parlimen kedua selepas Bukit Gelugor minggu lalu.
Calon BN Datuk Mah Siew Keong telah berkempen atas tema isu-isu tempatan seperti perkhidmatan majlis tempatan, manakala calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud bertumpu kepada isu-isu nasional seperti kos hidup dan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kerajaan.
Pengundi berdaftar di Teluk Intan terdiri daripada 42 peratus Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

