TELUK INTAN Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berpuas hati dengan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan setakat ini.

    

Katanya, hasil tinjauan yang dilakukannya serta laporan daripada pegawai pilihan raya di pusat-pusat mengundi, menunjukkan proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman dan tenang.

"Saya sangat gembira kerana jumlah kehadiran lebih daripada 10 peratus bagi setiap jam sehingga kini. Saya harap pengundi akan keluar beramai-ramai dan tidak mengulangi keadaan di (PRK) Bukit Gelugor (Ahad lepas)," katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perjalanan pengundian di beberapa pusat mengundi

di Teluk Intan, hari ini.

    

Turut hadir Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dan Pengerusi SPR Perak, Ahmad Adli Abdullah.

    

Berdasarkan maklumat yang diterima SPR, Abdul Aziz menjangkakan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 59,927 keseluruhan pengundi biasa di kawasan Teluk Intan akan keluar mengundi hari ini.

    

Abdul Aziz juga berkata setakat ini jumlah pengundi muda amat kecil berbanding golongan tua.

    

Dalam pada itu, beliau berkata SPR menerima maklumat tentang insiden provokasi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Dato Laksamana Raja Mahkota, Jalan Maharaja Lela dan di Kampung Bahagia.

    

Katanya, ia berpunca daripada keadaan jalan yang sempit dan penyokong parti-parti bertanding yang ramai berkumpul memenuhi laluan berkenaan.

    

"Namun tiada pergaduhan fizikal kerana pihak keselamatan sampai dengan cepat," katanya.

    

Sehubungan itu, Abdul Aziz mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan kekacauan supaya proses pengundian terus berjalan lancar sehingga tamat 5 petang nanti.

    

Ditanya mengenai laporan polis yang dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau mengetahui anggota pasukan Rela yang tidak mengundi pada Pilihan Raya Umum 2013, Abdul Aziz sekali lagi menegaskan tiada pihak yang boleh mengetahui siapa yang dipilih oleh para pengundi.

    

"Tiada siapa tahu, apa yang diundi, termasuk SPR. Saya bukannya  mempertahankan Zahid, anggota Rela juga adalah pengundi biasa dan mengundi di Malaysia adalah rahsia," katanya.

Beliau turut menasihatkan Bersih supaya berperanan secara bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

    

"Buat laporan jika nampak ada pihak yang buat salah. Jangan pilih-pilih," katanya.

    

Terdahulu, Abdul Aziz meluangkan masa melawat Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Sekolah Kebangsaan Selabak dan Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

    

- Bernama