Dua warga emas maut rumah terbakar
Dua orang warga emas maut dalam dua kebakaran berasingan di Klang dan Seremban.
Di Klang, seorang lelaki maut apabila rumah teres dua tingkatnya di Ambang Botanic 2 di Klang terbakar pagi tadi.
Yap Soon Tian, 75, yang sedang tidur di bilik tingkat bawah dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu dipercayai mati akibat terhidu asap tebal.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata anak lelaki mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan dan
seorang cucu lelaki mangsa turut berada di rumah itu ketika kejadian.
"Mereka yang berada di bahagian lain rumah itu sempat menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata kebakaran mungkin berpunca daripada penyaman udara di bilik mangsa, namun punca sebenar masih disiasat.
Manakala di Seremban, seorang lelaki warga emas ditemui mati apabila sebuah bilik terbakar dalam satu kejadian di sebuah rumah teres di Taman Rasah Jaya ari ini.
Mayat K. Gunasingham, 60, ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas dan mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap tebal dan tidak sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Mohd Azli Mohd Arus berkata dua jentera dan 15 anggota dari balai itu dikejar ke tempat kejadian selepas
pihaknya menerima panggilan pada 11.11 pagi.
Beliau berkata semasa tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian, pihaknya mendapati kebakaran itu sudah dipadamkan orang awam.
"Pemeriksaan mendapati seorang mangsa telah mati di atas katil di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah teres itu dan mangsa maut dipercayai lemas akibat asap dalam kebakaran itu.
"Bilik itu didapati terbakar hampir 50 peratus dan kebakaran itu melibatkan katil, perabot dan juga bumbung," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat.
Seorang jiran, K.Mala, 34, berkata beliau menyedari kejadian itu setelah ternampak asap keluar dari rumah berkenaan.
"Saya kemudian menjerit meminta tolong dan memanggil jiran yang lain.
"Kita kemudian terpaksa memecah pintu rumah itu untuk memadamkan api dan cuba menyelamatkan mangsa," katanya.
- Bernama

