Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyifatkan operasi menyelamatkan mangsa culik di Semporna sebagai operasi yang kompleks, tetapi berjaya dilaksanakan hasil kerjasama padu pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.

    

Ketika mengucapkan penghargaan beliau ke atas usaha kedua-dua pasukan keselamatan dari dua negara itu, Musa berkata usaha menyelamat warga China, Gao Hua Yuan, 29 dan warga Filipina Marcy Dayawan, 40 yang diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, Semporna 2 April lepas memerlukan koordinasi yang baik daripada semua pihak di Malaysia mahupun di Filipina.

    

"Saya selalu memberi ingatan kepada anggota keselamatan kita supaya sentiasa berwaspada dan sentiasa bersiapsiaga untuk memastikan perkara-perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan," katanya.

    

Orang ramai juga diminta supaya sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan terutamanya anggota pasukan keselamatan," kata beliau yang juga Pengerusi Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom), kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan di Kota Kinabalu hari ini.

    

Semalam, Gao dan Dayawan berjaya diselamatkan di Pulau Jolo, Filipina selepas hampir dua bulan menjadi tebusan di selatan negara jiran itu.

    

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib ketika dihubungi berkata polis sedang menyiasat sama ada Dayawan turut terlibat dengan dalang kes penculikan itu.

    

Katanya, Gao dan Dayawan dijangka memberi keterangan di Bukit Aman hari ini.

    

Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata telah menculik Gao dan Dayawan, yang bekerja di pusat peranginan itu, kira-kira pukul 10.30 malam.

    

Kumpulan penculik itu dilaporkan telah menuntut wang tebusan sebanyak RM36.4 juta (AS$11 juta) untuk membebaskan Gao.

    

Susulan kejadian itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diperketatkan dengan menambah aset tambahan.

    

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis Sabah telah menahan empat orang termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan, yang mana dua wanita ditahan di resort berkenaan, manakala seorang lagi wanita dan seorang lelaki ditahan di sebuah perkampungan di Semporna.

    

- Bernama