'Kemenangan satu titik perubahan di Teluk Intan'
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berkata kemenangan beliau dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan akan membawa satu titik perubahan bukan sahaja di kawasan itu malah kepada parti Gerakan.
Presiden Gerakan itu menyifatkan pertandingan kali ini amat sengit namun parti komponen BN membuktikan kemampuan untuk menang jika bersatu.
"Bagi saya, ini juga satu titik perubahan kepada Gerakan. Saya bangga dengan kerjasama antara parti komponen BN yang membawa kejayaan" katanya ketika ditemui pemberita selepas diumum sebagai pemenang dalam PRK itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Teluk Intan malam ini.
Mah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya yang mendapat 19,919 undi.
Beliau juga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang banyak memberi nasihat dan bimbingan dalam perjuangan kali ini.
Mah berkata sebagai tanda terima kasih terhadap sokongan pengundi Teluk Intan, beliau akan berkunjung ke pasar besar untuk menemui sendiri mereka yang menyokongnya.
- Bernama

