Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP mohon pindah kes video ke Mahkamah Tinggi

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok Suh Sim, yang menghadapi pertuduhan menghasut di Mahkamah Seseyan berhubung klip video kontroversi sempena Tahun Baru Cina, hari ini memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

    

Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menetapkan 2 September untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan itu dan memerintahkan peguam SN Nair yang mewakili Kok untuk membuat permohonan secara formal berhubung perkara itu.

    

Nair memberitahu mahkamah, semasa kes itu dibentangkan untuk pengurusan kes hari ini, anak guamnya memohon untuk memindahkan kes itu mengikut Seksyen 417, Kanun Acara Jenayah.

    

Katanya permohonan itu dibuat atas dua alasan, iaitu sekiranya kes itu bermula di Mahkamah Sesyen, anak guamnya hanya dapat mengemukakan rayuan akhir di Mahkamah Rayuan tetapi jika kes itu bermula di Mahkamah Tinggi, rayuan akan berakhir di Mahkamah Persekutuan.

    

Beliau juga berkata pertuduhan itu juga melibatkan isu perlembagaan yang hanya boleh diputuskan oleh mahkamah atasan.

Berikutan itu, Norsharidah mengosongkan tarikh untuk perbicaraan bagi kes itu yang sebelum ini ditetapkan empat hari dari 2 September.

    

Pada 6 Mei, Kok yang juga anggota Parlimen Seputeh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menghasut berhubung satu video kontroversi sempena Tahun Baru Cina.

    

Kok, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar, Brickfields, pada kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari.

    

Dia menghadapi pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, seseorang wakil rakyat boleh kehilangan haknya jika mahkamah menjatuhi hukuman denda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun terhadap sebarang kesalahan undang-undang.

    

Pendakwaan dikendalikan  Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad.

    

-Bernama

ADS