MP bimbang guna air lombong semasa kemarau
Ujian kerajaan Selangor mungkin menunjukkan bahawa penggunaan air dari kolam bekas lombong bagi menangani masalah kekurangan air di negeri itu selamat, tetapi mungkin lain pula hal apabila tiba musim kemarau, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.
Beliau menjelaskan bahawa kandungan toksik logam dalam air kolam tersebut mungkin mencair ke tahap yang selamat dalam keadaan biasa dan oleh itu menunjukkan bahawa ia selamat untuk dimimum.
Bagaimanapun semasa musim kemarau, nisbah kepekatan logam berbahaya, mungkin tidak lagi di tahap yang dianggap selamat.
Katanya, ini kerana tindak balas pencairan logam berat adalah berbeza dalam keadaan biasa dan pada musim kemarau kerana tahap takungan air.
Semasa musim kemarau atau ketika takungan air yang rendah, tegasnya, jumlah berlakunya secara semulajadi arsenik, plumbum dan logam berat lain, menjadi lebih pekat apabila takungan air berkurangan.
"Ini mempunyai kesan ke atas kesihatan rakyat dan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Oleh itu, Charles berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya menolak begitu sahaja kebimbangan beliau sebagai satu "pandangan peribadi" dan ujian yang berterusan perlu dijalankan ke atas bekalan air di negeri ini.
Tegasnya lagi, persampelan Kementerian Kesihatan dan jabatan kimia perlu dilakukan semasa takungan banyak dan ketika takungan kurang, sebelum pihak berkuasa negeri boleh membuat kesimpulan bahawa air bekas lombong yag mengandungi logam berat memang selamat untuk penggunaan manusia.
Persampelan dan ujian itu, tambahnya, perlu dilakukan dalam satu tempoh masa bagi meyakinkan kewajaran penggunaan air bekas lombong untuk kegunaan manusia.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tempoh cuaca kering berpanjangan kesan fenomena El Nino.

