JAKIM: Kit kesan bahan babi sesuai bagi pengesanan awal
Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) berkata, kit pengesan bahan babi yang dijual di pasaran, mungkin sesuai digunakan untuk pengesanan awal tetapi ia bukan keputusan yang muktamad.
Sebaliknya, ia memerlukan ujian lanjut untuk mengesahkan keputusan tersebut, kata Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Mohd Yusoff.
Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai laporan tentang penjualan kit pengesan bahan babi di pasaran yang mendakwa boleh mengesan bahan itu dalam masa 15 minit sahaja.
Bagaimanapun, katanya, pengunaan kit tersebut oleh orang awam dibimbangi boleh menimbulkan kekeliruan.
"(Ini) kerana DNA bukan muktamad menyatakan kandungan bahan babi tetapi boleh juga berlaku akibat pencemaran.
“Dan Muzakarah Fatwa masih di peringkat kajian tentang pencemaran DNA ini,” katanya menjawab soalan Malaysiakini melalui Whatsapp.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kit tersebut boleh membantu pengguna untuk mengesan kandungan bahan babi dalam barangan yang mereka beli.
“Memang baguslah macam tu, bagi pemeriksaan awal ia sedikit membantu. Memang baik kepada pengguna (Islam),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, keberkesanan produk tersebut perlu dipastikan terlebih dahulu dengan piawaian minimum.
Justeru itu, katanya, produk tersebut harus disahkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

