Bekas pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein akan terus bersama membantu menteri baru kementerian itu dalam isu MH370.

Hishamuddin yang memangku jawatan itu selama setahun berkata beliau akan hadir ke sidang media MH370 sekiranya diminta menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Liow Teong Lai.

"Saya tidak boleh lari dari hal ini. Nama saya sinonim. Di Timur Tengah orang panggil saya Menteri MH370.

"Saya akan terus pastikan hubungan peribadi dengan negara dan individu terlibat sampailah Datuk Liow selesa nanti," kata beliau dalam sidang media selepas menyerahkan tugas di Putrajaya hari ini.

Hishamuddin dikenali kerana menjadi 'muka' Malaysia dengan kemunculan pada setiap sidang media selepas kehilangan MH370 8 Mac lalu menjawab soalan dari media antarabangsa dan tempatan berkenaan hal ini.

Liow bersama Datuk Mah Siew Keong dan Datuk Dr Wee Ka Siong bersama mengangkat sumpah pada 27 Jun lalu sebagai menteri penuh sementara Datuk Lee Chee Leong, Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun, turut mengangkat sumpah memegang jawatan timbalan menteri.

Pada pengumuman Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menamakan Liow yang juga presiden MCA sebagai menteri pengangkutan.

Sementara itu, Liow mengaku beliau memerlukan masa untuk mendapat keseluruhan maklumat berkenaan isu MH370 sebelum menanganinya secara penuh.