5 juta cicir, PAS gesa daftar pengundi auto
Pemuda PAS hari ini mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyegerakan pendaftaran pengundi secara automatik apabila seseorang itu berusia 21 tahun.
Perkara itu dinyatakan dalam memorandum dewan itu kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya pagi ini, yang dihantar oleh ketuanya Suhaizan Kaiat dan pengarah pilihan rayanya Sany Hamzan.
Menurut Sany, pendaftaran automatik lebih mudah dilaksanakan dan dapat mengelakkan daripada manipulasi data pihak tidak bertanggungjawab.
"Ini adalah penting bagi menyelesaikan masalah dan kekurangan yang berlaku dalam sistem pilihan raya di Malaysia dengan memudahkan pendaftaran baru di kalangan anak muda.
"Sekarang ni berdasarkan kenyataan SPR kira-kira 4.6 juta anak muda yang masih belum mendaftar, " kata Sany dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum itu.
Beliau berkata Pemuda PAS akan melancarkan kempen 'auto21' di Pasaraya Sogo bagi menguar-uarkan desakan mereka kepada rakyat pada Sabtu ini.
Bahkan, Sany turut memaklumkan Pemuda PAS kawasan juga diarah menghantar memorandum sama kepada kepada ahli parlimen dan pejabat SPR peringkat negeri.
Mereka juga akan menghantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Tuan Yang Terutama, katanya.
Ditanya mengenai sistem dalam talian yang sedang digunakan SPR kini, Suhaizan berkata kaedah automatik yang dicadangkan lebih mudah cepat.
Katanya, perkhidmatan pendaftaran pengundi dalam talian belum dilancarkan di Sabah dan Sarawak kerana talian perkhidmatannya terbatas pada jaringan internet.
"Di Sabah dan Sarawak belum menggunakan sistem dalam talian, begitu juga di kawasan pedalaman. Jadi sistem automatik ini terus saja. Tak payah nak online," katanya.

