Prof Dr Mohd Redzuan Othman berkata tekanan terhadap beliau selaku pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) merupakan isunya dan bukan berkaitan penyingkirannya sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya.

Menurutnya, Ketua Setiausaha II Kementerian Pelajaran Datuk Zaini Ujang hanya menyentuh mengenai jawatan dekan sedangkan ia bukan isu yang sebenarnya.

"Isu dekan tak timbul. Dia tak sentuh Umcedel. Isunya Umcedel," katanya dalam SMS ringkas kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai laporan akhbar The Star hari ini.

Akhbar bahasa Inggeris itu memetik Zaini sebagai menafikan bahawa kementerian itu meminta Redzuan melepaskan jawatan susulan berakhirnya tempoh perkhidmatannya sebagai dekan fakulti tersebut.

Redzuan meletakkan jawatan pengarah Umcedel - yang diasaskannya - susulan tekanan kementerian itu selepas kajian mereka mendapati pilihan raya umum atau kecil tidak menyenangkan kerajaan BN yang memerintah.

Redzuan dijadual berkhidmat sebagai pengarah Umcedel bermula 26 Februari 2012 hingga 31 Disember 2014.  

[Baca berita penuh]