PAS dan NGO memandang serius dakwaan tekanan terhadap Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Dr Redzuan Othman supaya melepaskan jawatan pengarah dan berkaitan kontrak sebagai dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial tidak disambung.

Dalam kenyataannya, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihaknya terkejut dengan tindakan itu dibuat ekoran dakwaan desakan politik pihak tertentu di Kementerian Pendidikan yang tidak senang dengan kajian Umcedel bawah seliaan Redzuan.

"Dengan mengambil tindakan sebegini ke atas Profesor Redzuan, jelas menunjukkan bahawa janji perlaksanaan transformasi politik yang dilaungkan oleh perdana menteri untuk memberi ruang kebebasan bersuara yang lebih luas kepada rakyat, adalah suatu pembohongan semata-mata.

"Bukan setakat kerajaan yang ada hari ini tidak boleh berkompromi dengan sebarang kritikan dari parti pembangkang, tetapi sudah sampai ke tahap tidak boleh berlapang dada atas hasil kajian yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik non-partisan," kata Mahfuz.

Sehubungan itu, ahli parlimen Pokok Sena menyeru kerajaan mengemukakan hasil kajian balas secara akademik jika tidak berpuas hati dengan kajian badan itu dan menggesa kerajaan tidak "menghukum" ahli akademik itu jika tidak selesa dengan kajian mereka.

Sementara itu, MP PAS Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof pula mendesak Majlis Professor Negara (MPN) membuat siasatan menyeluruh berhubung perkara yang dianggapnya "menyedihkan" dan mengeluarkan kenyataan tegas mempertahankan kebebasan akademik.

Beri penjelasan

Beliau juga menggesa Kementerian Pendidikan membuat penjelasan berhubung dakwaan wujudnya tekanan termasuk tidak menyambung jawatan dekan yang disandang Redzuan walaupun difahamkan ahli akademik itu mendapat undi majoriti untuk disambung khidmatnya.

"Universiti Malaya sebagai mercu tanda akademik mendapat satu tamparan memalukan dari pihak luar yang hanya akan meletakkan universiti tertua ini pada tahap yang rendah dan masa depan akademiknya semakin gelap.

"Rakyat Malaysia yang mahukan masa depan akademik di negara ini maju ke hadapan tersentak dengan tekanan yang diterima oleh Prof Redzuan dan sekaligus memutar jam ke belakang dalam usaha transformasi yang giat dijalankan hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Manakala Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula meminta UM memberi penjelasan berhubung isu tersebut supaya kampus itu tidak dilihat menyingkirkan mana-mana ahli akademik yang dianggap kritikal pada kerajaan.

Presidennya Muhamad Aliemran Norasid berkata pihaknya merasakan sekiranya situasi tersebut terus berlaku akan menyebabkan mahasiswa akan kehilangan kepercayaan kepada pentadbiran universiti.

"Bukanlah hasrat PKPIM untuk mempersoalkan kredibiliti dekan fakulti dan pengarah Umcedel yang baru namun pengunduran Prof Dr Redzuan ini dilihat dibuat dalam keadaan seolah-olah ada campur tangan dari pihak yang berkepentingan dan mungkin cemburu melihat kejayaan UM dalam bidang kajian pilihan raya," katanya.