Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghantar surat dipenjara miliki mercun
Diterbitkan:  Jul 3, 2014 4:42 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Gara-gara memiliki mercun dan bunga api untuk dijual sempena sambutan Aidilfitri, seorang penghantar surat hari ini dihukum penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

    

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Khairul Johari, 28, setelah dia mengaku bersalah dan memerintahkan hukuman penjara seminggu jika dia gagal membayar denda tersebut.

    

Muhammad Khairul didakwa memiliki 322 bungkusan mercun dan bunga api pelbagai jenis termasuk mercun gasing, mercun papan dan mercun 'roket' tanpa alasan munasabah atau mempunyai kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa.

    

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Dang Wangi dekat sini pukul 11.20 malam pada 1 Julai lepas.

    

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000.

    

Mengikut fakta kes, ketika tangkapan tertuduh sedang menjual mercun tersebut kepada orang awam dan ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Rohani Ibrahim memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Khairul menjual mercun untuk mendapatkan wang tambahan bagi membeli keperluan menyambut Aidilfitri.

    

Rohani turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana tertuduh perlu menanggung isteri yang tidak bekerja.

    

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ooi Chean Ling yang mewakili pihak pendakwaan memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam kerana kesalahan itu adalah serius.

    

- Bernama

ADS