4 tahanan ISA dibenar jumpa keluarga, 2 minggu ini
versi terkini Empat daripada 10 pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibenarkan bertemu anggota keluarga masing-masing mulai semalam.
Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan 'Black 14' Saari Sungib, yang telah ditahan selama 24 hari, akan dibenarkan bertemu anggota keluarganya pada Isnin depan.
Isterinya Aliza Jaffar mengesahkan perkara itu kepada malaysiakini pagi tadi.
Sementara Lokman Noor Adam, yang ditahan pada tengah malam 24 April lalu, dibenarkan berbuat demikian pada Selasa depan, kata isterinya Noor Farahin Ahmad.
Marina Abdullah, isteri pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini ditahan selama 23 hari dibenarkan bertemu suaminya semalam di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah.
Beliau hadir bersama tiga orang anak mereka.
Pada jam 3.30 petang tadi, isteri pemimpin Parti Keadilan Nasional Dr Badrul Amin Baharom bertemu lebih 90 minit dengan suaminya di tempat yang sama.
Dr Badrul Amin ditahan di rumahnya di Kepong, Selangor pada 20 April lalu.
Menurut isterinya, Zumrah Husni, aktivis pembangkang itu sihat tetapi kelihatan letih. Dr Badrul Amin sempat bermain-main dan berbual-bual dengan tujuh orang anak mereka.
Zumrah berkata, beliau diberikan jaminan akan bertemu semula dengan suaminya tetapi polis belum menetapkan tarikh.
Dalam lawatan itu, Dr Badrul Amin berpesan kepada penyokong-penyokong reformasi agar "teruskan perjuangan."
Pertemuan itu diadakan di sebuah bilik pasukan Cawangan Khas (SB) di tingkat tujuh bangunan IPK. Pintu bilik itu dibiarkan terbuka dan pegawai-pegawai polis memantau mereka sekeluarga sepanjang pertemuan tersebut, ceritanya kepada malaysiakini .
"Setakat pengetahuan saya, mereka (polis) tidak merakamkan perbualan kami. Tidak pula kelihatan alat rakaman di bilik itu," katanya.
Selain empat orang itu, tahanan-tahanan lain adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda parti itu Mohamad Ezam Mohd Nor, N Gobalakrishnan serta Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail.
Keluarga enam tahanan ini belum menerima sebarang jadual lawatan daripada polis.
Pagi tadi di Shah Alam, hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus membuat keputusan agar Gobalakrishnan yang ditahan di Langkawi, Kedah dan Abdul Ghani (ditahan di Kuching, Sarawak) dibawa ke mahkamah tinggi.
Keputusan itu dibuat selepas beliau mendengar permohonan habeas corpus daripada isteri masing-masing minggu lalu. Gobalakrishnan dan Abdul Ghani masing-masing ditahan pada 10 dan 11 April lalu.
Minggu lalu, mahkamah tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan yang sama daripada lima orang aktivis pembangkang itu yang ditahan di Selangor dan Kuala Lumpur dalam operasi pada tarikh yang sama.
Mahkamah Shah Alam akan meneruskan sidang Selasa depan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.