Calon wanita: Muslimat PAS tidak berharap diluluskan
Dewan Muslimat PAS tidak meletakkan harapan tinggi bahawa usul calon wanita diluluskan oleh pimpinan tertinggi parti itu. Usul yang diluluskan sebulat suara di peringkat dewan itu dan diterima muktamar awal Jun lalu kini menunggu keputusan Majlis Syura.
Ahli Jawatankuasa PAS, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali hari ini mendedahkan kepada malaysiakini bahawa beliau "boleh menerima" hujah bahawa soal keselamatan dan demokrasi di negara ini tidak mengizinkan wanita Islam menjadi calon pilihan raya.
"Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan supaya usul ini mesti diluluskan. Apa yang dicadangkan adalah rasional dan ada asasnya," jawabnya apabila ditanya tentang sejauh mana harapan beliau terhadap keputusan badan tertinggi PAS itu.
"Saya telah berusaha dan bertawakal kepada Allah."
"Saya percaya Majlis Syura mampu menentukan keputusan sama ada usul itu benar-benar memberi manfaat kepada PAS, Muslimat dan umat Islam seluruhnya," jelas Dr. Lo' Lo' lagi.
Majlis Syura yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dianggotai oleh 15 pakar agama, ahli akademik dan pemimpin PAS Pusat. Badan tertinggi ini memutuskan dasar parti menurut perspektif agama.
Menurut Dr Lo' Lo', wakil Muslimat akan turut hadir dalam perbincangan tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak pasti tarikh majlis itu akan bersidang.
Dr. Lo' Lo' menjelaskan usul itu dikemukakan setelah melihat wanita Barisan Nasional tidak banyak melakukan perubahan untuk membela isu-isu wanita di Malaysia.
Beliau juga mempertikaikan peranan Bahagian Hal Ehwal Wanita di Jabatan Perdana Menteri yang kurang memberikan perhatian terhadap isu-isu wanita.
"Masalah wanita yang tidak menerima nafkah, didera dan keruntuhan akhlak membuatkan kami berasa terpanggil untuk turut mengatasi isu-isu tersebut," jelas beliau, sambil menegaskan Muslimat PAS akan menyuarakan kepentingan wanita semua kaum dan agama.
Beliau juga menjelaskan Muslimat mendapat sokongan daripada ahli dan masyarakat di luar PAS agar kumpulan itu mempunyai wakilnya di Dewan Rakyat dan turut terlibat membuat dasar-dasar negara.
"Tidak ada anggota Dewan Rakyat wanita yang mahir dalam soal hukum-hakam Islam dan sistem Mahkamah Syariah," katanya.
Bagaimanapun katanya, hujah Nik Aziz bahawa keselamatan dan amalan demokrasi di negara ini tidak mengizinkan Muslimat menjadi calon ada asasnya.
Wawancara penuh Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali dengan malaysiakini akan diterbitkan Rabu ini .


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.